Ustaz Yahya: Murabbi tak pernah lelah mendidik ::.
Sedikit perkongsian daripda catatan
KEKANDA USTAZ RIDUAN MOHD NOR
Langit
petang ini seperti rawan berduka, awan mengarak berita yang memeritkan
sukma seperti petir membelah langit. Segalanya seperti kebetulan mengapa
beberapa hari ini saya merasa begitu teringatkan Ustaz Yahya Othman
terutama janji untuk menyusun kertas kerja tarbiah yang puluhan atau
ratusan yang ditulis almarhum. Petang menjelang jumaat yang berkat ini,
saya bersama Dr Supyan membelek foto-foto lama program MISNA yang
diadakan pada tahun 1991. ”Wah, Ustaz Yahya masih muda bertenaga” kata
saya teruja pada teman apabila melihat Ustaz Yahya yang kelihatan
merenung para peserta program musim sejuk anjuran MISNA. Bersebelahnya
ialah almarhum Ustaz Fadhil Noor yang juga kelihatan masih bertenaga.
Berselang sejam lebih selepas itu, teman saya wartawan Harakah, Nazri
menelepon dengan suara cemas “Ustaz Yahya telah dijemput untuk berkelana
ke alam abadi”. Airmata terasa deras mengalir kerana tokoh murabbi PAS
ini sangat tidak asing dengan program tajnid (pembinaan kader-kader
dakwah PAS). Anak muda aktivis gerakan Islam negara ini rasanya semua
mengenali dengan dekat sesepuh besi khursani tarbiah ini yang mendapat
pendidikan di Timur Tengah dan pernah diasuh secara sistematis oleh
Ikhwanul Muslimin.
Beliau mewakafkan diri untuk perjuangan
Islam semenjak zaman muda sehinggalah tubuhnya mula disengat penyakit
namun masih tidak menguzurkan diri di medan amal Islami. Kertas kerja
tarbiah Ustaz Yahya Othman sering kita lumati dalam program tarbiah,
bahkan dada kita turut terisi dengan penyampaian beliau yang tegas.
Beliau adalah anak didik kepada Sheikh Kamal Saniri, tokoh Ikhwanul
Muslimin yang telah mengalami pemenjaraan dan akhirnya mati syahid
akibat disiksa oleh regim thaghut Mesir. Jika menziarahi bumi Jordan,
biasanya Dr Muhammad Said Hawwa (anak Sheikh Said Hawwa) akan menjemput
beliau di lapangan terbang. Beliau mempunyai kenangan kolektif bersama
Sheikh Said Hawwa dan tokoh-tokoh besar Ikhwan yang terbuang di merata
tempat, termasuk akrab dengan Dr Kamal Helbawi dan Dr Mehdi Akif.
Ustaz Yahya mendapat pendidikan di Mekah, antara pelajar genius yang
disayangi oleh guru-guru di Masjidil Haram, beliau menyambung pengajian
di Iraq seterusnya di Universiti al Azhar sehingga mendapat MA
(Sarjana). Beliau sangat menyintai dunia pendidikan, sehingga jasanya
ada di belakang penubuhan YPTIK, Maahad Tahfiz Pulai Condong, KIAS,
Kolej An Nur, Maahad Darul Quran Machang dan pelbagai institusi
pendidikan Islam di Kelantan bahkan negara ini. Akses beliau dengan
Universiti al Azhar begitu sekali baik, ini adalah kerana latarbelakang
pendidikan dan jaringan yang dimiliki oleh beliau ketika aktif di dalam
gerakan belia Islam antarabangsa. Tidak pelik jika apabila PAS memenangi
Kelantan pada tahun 1990, beliau diamanahkan sebagai exco Pendidikan
negeri Kelantan. Beliau menjadi ADUN Banggol Judah dan pernah bertanding
di Parlimen Pasir Puteh pada tahun 1978.
Sang Murabbi ini
mengabadikan hidupnya untuk mencetak kader dakwah, memesrai anak muda
supaya menjadi amilin yang menyambung risalah perjuangan Islam. Dirinya
adalah mercu keteladanan kepada kita kerana kata-katanya dibenarkan
dengan tindakan dan amalan, beliau bergulat dengan perjuangan secara
serius semenjak tahun 70an lagi. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai
exco WAMY serta ahli majlis Syura ABIM saat ABIM adalah gerakan
simbiosis kepada PAS dalam dekad 70an. Almarhum juga adalah tokoh ulama
PAS Pusat yang juga begitu akrab dengan tokoh-tokoh besar Ikhwanul
Muslimin. Di saat kebangkitan Islam menyelimuti dunia Islam, bahkan
negara ini juga tidak terkecuali, Ustaz Yahya Othman bergerak ke seluruh
negara untuk membudayakan tarbiah kepada pemuda dan belia Islam. Saat
itu, kesan daripada percikan kebangkitan Islam, negara dahagakan
sentuhan ulama-ulama haraki dan beliau sebaris namanya dengan Tuan Guru
Haji Abdul Hadi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Wan Mustapha Rusdi,
Ustaz Awang Nasruddin Abu Bakar dan nama-nama besar lain penggerak
tarbawi. Tidak menjadi rahsia bahawa kesan daripada tarbiah beliau
kepada ahli PAS terutama pemuda PAS di penghujung dekad 1970an dan awal
80an, akhirnya berlaku transformasi kepimpinan pada tahun 1982 yang
dikenali sebagai kepimpinan ulama.
Almarhum bukan sahaja
menjadi tenaga pengisi penting untuk program pelajar dan pemuda dalam
negara tetapi juga sentiasa diundang ke luar negara termasuk di United
kingdom dan US. Perawakan lembut tetapi tegas, hujjahnya sentiasa
disepuh ayat-ayat Allah dan hadith Nabi SAW. Dasawarsa 70an dan 80an
adalah zaman subur merendang dan meranum hijau dengan usrah, tamrin,
daurah, jaulah, ijtimak dan sebagainya, semua program ini begitu sinonim
dengan beliau. Bahkan, PAS berjaya merubah kepimpinan pada tahun 1982
(transformasi kepimpinan) adalah kerana suburnya gerakan tarbiah dan
pembinaan. Kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS berjaya
direalisasikan akibat hidupnya gerakan tarbiah yang berterusan, juga
akibat generasi peserta kebangkitan Islam yang begitu membuncah ghairah
untuk melihat PAS menjadi gerakan Islam yang bergerak di atas kefahaman
ahli bukan semangat yang meledak-ledak kosong. Almarhum juga di belakang
penubuhan ILHAM dan juga menggerakkannya.
Kita semua para
amilin jemaah akan sentiasa mempunyai ingatan kolektif terhadap jasa dan
pengorbanan almarhum, bahkan akan terus merasa kerinduan yang menggebu
dengan sentuhan ‘air tangan’ beliau. Saya semasa menjadi Pengerusi
Lujnah Tarbiah DPPWP dan Timbalan Pengerusi Lujnah Tarbiah DPPP, Ustaz
Yahya adalah pimpinan utama yang sentiasa diundang untuk menjadi pengisi
program tarbiah pemuda khususnya. Beliau sangat serius dalam persoalan
menepati masa, bicaranya tenang namun tegas. Bersimpuh di hadapan beliau
semasa program seolah didera dalam penjara Guantanamo atau berada dalam
sel regim Arab, bimbang diterpa soalan ‘cepu mas’ ustaz Yahya. Wajahnya
sebening air yang membersit cahaya tetapi ketegasannya menggerunkan.
“Ayat apa tadi akhi? surah apa ana sebut tadi?” Tanya sang murabbi
dengan cerlungan mata pada peserta program tajnid. Tak berkutik, semua
tunduk seolah tak mendengar soalan ustaz. Dia tak mengalah, terus
mengasak peserta. Dada bergelombang turun naik, bimbang diterjah soalan
daripada beliau.
“Ayat apa yang akhir ana cakap tadi…?” Tanya
beliau dengan tegas, peserta akan menunduk dan menikus seperti tikus
disimbah dengan air sirap bandung. Tak berkutik.
“Mengapa enta
tak menulis semasa ana berkuliah?” Tanya sang Murabbi dengan tatapan
tajam di sebalik bingkai kaca mata kepada peserta tamrin, sebahagiannya
menikus seperti tikus mondok tersimbah ‘kopi janda’. Saya juga, walaupun
sebagai panitia program, turut merasa kecut perut seperti baru
melintasi bilik mayat selepas jam tiga pagi atau melintasi jirat Cina
yang baru menyimpan mayat gadis mati membunuh diri. Semua diam, tenang
dalam ketakutan yang cukup payah diungkap dengan lukisan kata-kata.
Hormat dan gerun, sekaligus merasa bersalah kerana tidak serius
mencatat.
“Mengapa tak menulis dalam jawi?” Tanya Ustaz lagi
pada seorang peserta yang duduk di barisan hadapan, teman ini pucat,
bibirnya kelat menelan air liur. Lulusan kampus tempatan ini adalah
produk dasar pendidikan negara yang tidak bersahabat dengan tulisan
jawi.
“Ana sayangkan antum semua ini, antum semua anak ana,
antum semua masa depan perjuangan Islam,” kata sang murabbi dengan
lirih, mata beliau berkaca dengan patah kata yang tersekat. Di akhir
program kami saling memeluk beliau, berpamitan dengan penuh ukhuwwah,
ustaz sentiasa bermalam dengan peserta tamrin Pemuda, mengunyah apa
sahaja yang dihidangkan bersama peserta tamrin tanpa omelan. Keakraban
beliau dengan peserta bukanlah dibuat-buat, keintiman ini berakar
daripada kecintaan beliau untuk membina dan mencetak jurudakwah muda.
Buatlah tamrin jauh meranduk kawasan perbukitan, meredah kawasan yang
paling rahsia untuk mengelak pengintipan musuh atau ke pulau terbiar,
Ustaz Yahya tidak pernah gagal untuk hadir. Biasanya pula sang murabbi
akan sampai lebih awal daripada peserta tamrin. Sesibuk manapun beliau
semasa menjadi Exco Kerajaan Kelantan namun program tarbiah adalah
keutamaan. Selepas melepaskan jawatan Eksekutif dalam kerajaan negeri,
belia masih di papan carta utama program tarbiah termasuk penglibatannya
dalam Lujnah Tarbiah Pusat dan murabbi tarbiah jamaah.
“Mula
pukul berapa akhi program ni…” Tanya almarhum Ustaz Yahya pada saya
dalam satu program pembinaan. Sebenarnya jauh di sudut hati ustaz tidak
memerlukan jawapan, soalan itu adalah inzar kepada panitia yang gagal
untuk mendisiplinkan peserta. Apa pun teguran yang diberi, saya dan
kawan-kawan tidak pernah berkecil hati, malah hari ini ianya menjadi
sebuah kerinduan yang sangat mendera perasaan, terakam indah dalam
lipatan ingatan kolektif kita semua.
Dalam program Ijtimak
Tarbawi yang berlangsung di Masjid Rusila dua tahun lepas, ramai
generasi muda yang baru berjinak dengan PAS tidak mengenali sosok ini
namun akhirnya terpegun dengan pengisiannya yang sangat mengesankan.
Kata-katanya seperti kilauan mutiara, juga seperti air yang jernih yang
turun daripada bukit seterusnya menakung dalam kolam yang teguh. Daya
ingatannya memukau dan menyakinkan sekali, menyihir anak-anak muda yang
tekun mendengar. Suaranya bergetar sayu sebelum berpamitan dengan
peserta, matanya melihat dengan penuh bahagia kepada seluruh peserta
Ijtimak Tarbawi.
“Jangan lupakan program tarbiah, jangan lupa
baca Al Quran walau sesibuk mana pun kamu” ujarnya tegas, matanya
berkaca menatap peserta. Dia seperti disihir untuk tidak meninggalkan
majlis yang baginya menghimpunkan anak-anak didiknya dari seluruh
negara. Usai beliau memberi pengisian, tubuhnya yang uzur masih melekat
di kerusi khas di belakang pentas. Matanya memerhati dengan penuh teruja
ke arah anak muda yang jumlahnya ribuan orang dan dia dengan tekun
menangkap butiran yang disampaikan oleh penceramah-penceramah lain.
Dalam keadaan uzur serta jauh lebih berilmu dan berpengalaman, beliau
masih mendengar dan ditarbiah. Inilah watak keikhlasan sang murabbi yang
sukar dicari ganti pada hari ini.
“Nama apa ustazah yang
bercakap tu?” Tanya ustaz Yahya perlahan, cuba mengingat sesuatu. “Oohh,
Dr Asiah Ali…Pengerusi tarbiah Muslimat” jawab saya. Ustaz tekun
menangkap butiran yang keluar daripada mulut penceramah. Ustaz Asri
Daud, sekali sekala melayan pertanyaan Ustaz Yahya, yang tergambar
sangat bahagia pada hari itu. Sesekali dia membetulkan duduknya pada
kerusi khas yang kami sediakan.
Sukarnya untuk melupakan jasa
Ustaz Yahya kepada peserta kebangkitan Islam, juga kepada kita semua di
dalam harakatul ummah ini. Hari ini dan seterusnya kita akan merindui
sang murabbi ini, suara lirihnya juga tatapan mata bahagia dalam program
tarbiah. Nuansa sentiasa untuk mengukuhkan jamaah yang kita cintai,
kerana kita dan almarhum menjiwai setulusnya bahawa tarbiah adalah
tunjang kekuatan perjuangan. Gagah dan konsistennya harakatul ummah pada
hari ini ialah kerana tarbiah yang berterusan untuk para pendokongnya.
Kita ahli-ahli PAS tidak akan menjadi pahlawan kesiangan yang sarat
dengan mimpi-mimpi indah untuk merengkuh Putrajaya namun mengambil mudah
dan culas dengan program tarbiah.
Selamat berehat buat sang
Murabbi, demi Tuhan, kami adalah saksi mata bagaimana gigihnya dirimu
membina dan mengisi dada kami. Bergerak menyambangi seluruh belahan
negara ini untuk berdakwah dan membina para duat dan amilin. Kami
berjanji untuk meneruskan jalan dakwah ini dan memastikan harakatul
ummah ini terus berada di orbit perjuangan Islam walaupun kami tahu
betapa rindunya kami pada sebuah kerusi kosong di medan tarbawi yang
biasanya, menyandar tubuh kurus namun sarat dengan kata-kata inspiratif
yang meluncur daripada sumur akalmu yang jernih. Al-fatihah
No comments:
Post a Comment